Kenyataan Media Hamas
Sebagai respons terhadap ucapan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); kami di Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) menegaskan perkara berikut:
Perjuangan Palestin adalah satu tanggungjawab nasional dan moral yang mendapat keabsahannya daripada rakyat Palestin yang teguh, serta daripada hak semula jadi mereka untuk menentang penjajahan, sebagaimana yang diakui oleh syariat dan undang-undang antarabangsa. Kami menolak sepenuhnya sikap Presiden Pihak Berkuasa yang seakan-akan menyamai naratif palsu Zionis, dengan menuduh perjuangan ini menyasarkan orang awam.
Segala cubaan untuk memaksakan penguasaan dan mengawal kehendak rakyat Palestin pasti akan menemui kegagalan. Kami menganggap penegasan Presiden Pihak Berkuasa bahawa Hamas tidak akan mempunyai peranan dalam pemerintahan sebagai satu pencabulan terhadap hak rakyat Palestin yang tulen untuk menentukan nasib mereka sendiri dan memilih siapa yang memerintah, serta satu bentuk kepatuhan yang ditolak terhadap arahan serta projek luar.
Kami menegaskan bahawa senjata pejuang tidak boleh disentuh selagi penjajahan masih berterusan di tanah kami dan di dada rakyat kami. Kami mengecam tuntutan Presiden Pihak Berkuasa untuk menyerahkan senjata tersebut, khususnya ketika rakyat kami di Semenanjung Gaza sedang berhadapan dengan perang genosid yang kejam, serta ketika pendatang haram bersenjata dan tentera penjajah melakukan jenayah serta serangan biadab terhadap orang awam tidak bersenjata di Tebing Barat.
Satu-satunya jalan untuk melindungi perjuangan nasional kita dan menghadapi projek penjajah fasis yang bertujuan menghapuskan dan mengusir rakyat Palestin di Gaza, merampas Tebing Barat serta mengyahudikan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa, adalah melalui perpaduan dan kesepakatan nasional atas satu perjuangan yang menyeluruh dalam menentang penjajah Zionis yang zalim, sehingga tercapai aspirasi rakyat Palestin untuk pembebasan, kepulangan, serta penubuhan sebuah negara Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.
Gerakan Perjuangan Islam – Hamas
Khamis: 03 Rabiul Akhir 1447H
Bersamaan: 25 September 2025M
Sumber: Hamas
0 Comments