
Hamas adakan siri rundingan dengan kumpulan Palestin di Kaherah, fokus isu pilihan raya
Kenyataan Media Hamas Satu delegasi pimpinan Hamas yang diketuai Hussam Badran, Ketua Biro Hubungan Nasional dan anggota Biro Politik Hamas, mengadakan beberapa pertemuan dengan sejumlah kumpulan Palestin di ibu negara Mesir, Kaherah (Kairo), bagi meneruskan rundingan politik berhubung perkembangan terkini isu Palestin.
Delegasi Hamas turut disertai Dr Ghazi Hamad, Ali Barakah, Suhail al-Hindi dan Mahmoud Mardawi. Delegasi pimpinan Hamas bertemu wakil daripada Jihad Islam Palestin, Aliran Reformasi Demokratik dalam Fatah, Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), Gerakan al-Ahrar Palestin, PFLP - Komando Umum, Jawatankuasa Penentangan Palestin serta Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin (DFLP).
Pertemuan membincangkan perkembangan isu Palestin, khususnya pilihan raya Majlis Perundangan Palestin dan Majlis Nasional Palestin, selain usaha memperkukuh perpaduan nasional. Pertemuan tersebut turut menegaskan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri, tanah air dan tempat suci mereka serta berpegang teguh kepada hak dan prinsip nasional Palestin.
Semua pihak turut menegaskan hak rakyat Palestin untuk memilih wakil mereka secara bebas, adil dan telus dalam Majlis Perundangan dan Majlis Nasional Palestin, serta menolak pelantikan, penyingkiran dan tindakan membuat keputusan secara bersendirian. Semua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan dan penyelarasan antara pelbagai kumpulan serta tokoh nasional Palestin, termasuk usaha menamatkan perpecahan, membina semula dan mengaktifkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berasaskan prinsip demokratik, penyertaan bersama dan kepentingan nasional.
Mereka turut bersetuju untuk merangka strategi nasional bersama bagi menghadapi penjajahan, pendudukan, penempatan pendatang, yahudisasi, pemindahan paksa dan pengilhakan, selain menamatkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza serta memperkukuh ketabahan rakyat Palestin.
Gerakan Perjuangan Islam - Hamas
Isnin, 21 September 2026
Sumber: Hamas
0 Comments